Aaron-Wooi Yik Terima Ganjaran Lebih RM200,000 Seorang!


SEPANG: Beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik bakal menerima durian runtuh lebih RM200,000 setiap seorang susulan kejayaan bersejarah mereka merangkul Kejuaraan Dunia di Tokyo semalam.

Buat permulaan, Aaron-Wooi Yik masing-masing bakal menerima RM150,000 setiap seorang daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta RM50,000 juga setiap seorang menerusi sumbangan penaja Yonex.

Jumlah itu bakal bertambah lagi menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang disediakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta beberapa lagi pemegang taruh yang lain.

Khabar gembira itu diumumkan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebaik beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Tokyo petang tadi.

Menurutnya, beliau juga akan bertemu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk memohon jumlah inisiatif di bawah SHAKAM kepada Aaron dan Wooi Yik ditambah.

"Saya fikir (RM200,000) ini masih di peringkat awal. Apa yang boleh saya beritahu, kita akan bercakap dengan kerajaan dan penaja bagi memastikan mereka diberikan ganjaran tambahan.

"Untuk permulaan, BAM akan memberikan RM150,000 setiap seorang. Sebelum ini perbincangan hanya RM100,000 untuk satu beregu tetapi selepas berbincang dengan ahli majlis, kami memberikan RM150,000 setiap seorang.

"Selain itu, RM50,000 setiap seorang daripada Yonex dan ini menjadikan keseluruhan RM200,000. Selepas itu, SHAKAM berjumlah RM40,000 iaitu RM20,000 setiap seorang tetapi saya akan berbincang dengan menteri untuk menentukan jumlah berpatutan," kata Norza yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-56 hari ini.

Pengumuman Norza itu seharusnya berita gembira buat gandingan itu kerana Kejohanan Dunia tidak menawarkan hadiah kemenangan wang tunai.

Semalam, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah apabila muncul sebagai pemain Malaysia pertama meraih gelaran dunia selepas penantian 45 tahun apabila menewaskan gandingan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 di pentas final.

Norza dalam pada itu turut mengesahkan Aaron-Wooi Yik tidak akan menyertai Terbuka Jepun yang dijadual membuka tirainya esok selain sedang mencuba sebaik mungkin untuk membolehkan kedua-dua pemain ini menyertai perarakan Hari Kebangsaan ke-65, Rabu ini.

"Mula-mulanya memang begitu (perancangan menyertai perarakan) kerana kita fikirkan ini masa yang tepat untuk Hari Kebangsaan kita," kata Norza.

Sumber: Berita Harian  

Post a Comment

0 Comments