Aaron - Soh Wooi Yik Menjadi Juara Dunia!


KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan penantian gelaran sulung Malaysia di pentas Kejohanan Badminton Dunia pada edisi ke-27 yang berlangsung di Tokyo dengan penuh bergaya, sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik muncul juara selepas menewaskan lawan yang pernah mereka temui ketika perlawanan penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 dalam tempoh 40 minit.


Aksi beregu Indonesia, Mohammad Ahsan (kanan) dan Hendra Setiawan ketika menentang gandingan Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada aksi final Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun. - Foto AP

Aaron-Wooi Yik yang memasuki gelanggang dengan harapan memburu kejuaraan pertama sejak digandingkan pada 2017, berjaya menunjukkan kematangan dalam corak permainan mereka biarpun pada awalnya seakan terlalu mengikut rentak lawan.

Begitupun pada pertengahan permainan, Aaron-Wooi Yik berjaya menukar strategi dengan memperagakan corak permainan bertahan sehingga melakar kemenangan 21-19 dalam tempoh 25 minit dan momentum itu berjaya diteruskan sehingga set kedua.

Pada set kedua, Ahsan-Hendra seakan hilang arah dan sering melakukan kesilapan dan peluang itu berjaya diambil Aaron-Wooi Yik untuk menekan lawan mereka sebelum mencatat kemenangan 21-14 sekali gus melakar kemenangan `straight' set yang penuh bergaya.


Beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraikan kejayaan memenangi kejuaraan dunia selepas menumpaskan wakil Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada aksi final Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, sebentar tadi. - Foto AP

Sekiranya berpandukan rekod sebelum ini, kali terakhir Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan straight set ke atas Ahsan-Hendra adalah pada tiga tahun lalu di suku akhir Terbuka China - menewaskan gandingan Indonesia itu, 21-13, 22-20.

Aaron-Wooi Yik nyata tidak dapat menahan emosi terpendam dengan Wooi Yik dilihat mengalirkan air mata apatah lagi gelaran kejohanan individu yang pertama buat mereka sejak digandingkan bersama pada 2017.

Malah pada musim ini saja, beregu ini sering kali tersingkir di separuh akhir dan hanya sekali berada di pentas final iaitu di di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Filipina, Mei lalu.

Sumber: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments