Banjir Semakin Pulih, Dua Kawasan PPS Di Johor Ditutup!


JOHOR BAHRU - Seramai 76 mangsa banjir melibatkan 25 keluarga dari empat kampung di Skudai dan Tebrau, di sini yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor memberitahu, PPS Dewan Kampung Melayu Batu 10 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara ditutup pada jam 6 petang Ahad susulan keadaan cuaca yang bertambah baik.

"Semua mangsa terlibat dari Kampung Laut Batu 10, Skudai selain dari Kampung Pasir, Kampung Kangar dan Kampung Kenangan yang semuanya di Tebrau," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah APM Johor, Kol (PA) Kamal Mokhtar diiringi Pegawai Bencana dan Operasi APM Johor Bahru, Lt (PA) Mohamad Asnizam Tukimam melakukan tinjauan ke kawasan banjir kilat di Kampung Laut Batu 10 selepas banjir surut pada Ahad.

Beliau bertemu penduduk setempat yang sedang membersihkan rumah dan melihat sendiri kerosakan serta kemusnahan dialami mangsa banjir di kampung tersebut.

Sumber: Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments