Korea Selatan Akan Memberikan Dos Ke-4 Vaksin Covid-19 Akhir Bulan Ini



SEOUL: Menjelang akhir bulan ini, Korea Selatan akan mula memberikan dos keempat vaksin COVID-19. Mereka juga akan turut membekalkan jutaan kit ujian kendiri selari dengan penularan varian Omicron.

Varian itu telah mencatatkan kes harian yang tertinggi. Namun begitu, sebanyak 57 peratus daripada 52 juta populasinya yang telah menerima dos penggalak pertama. Hal ini sekaligus membantu pihak kesihatan disana mengurangkan kes kematian dan jangkitan serius.

Kwon Deok-Cheol selaku Menteri Kesihatan Korea Selatan berkata bahawa kumpulan pertama yang akan menerima dos keempat yang juga dos penggalak kedua merupakan individu yang berisiko tinggi.

"Kami merancang untuk memberikan dos penggalak kepada mereka yang tinggal di rumah serta fasiliti penjagaan dan lain-lain yang mengalami pengurangan imunisasi. Hal ini adalah disebabkan trend peningkatan jangkitan dalam kalangan individu yang berusia 60 tahun dan ke atas", katanya.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut ketika menghadiri mesyuarat tindak balas COVID-19, hari ini.

Sekurang-kurangnya 86.2 peratus populasi atau 44.2 juta individu Korea Selatan sudah lengkap divaksinasi.


Sebanyak 54,619 kes baharu COVID-19 yang dicatatkan di negara itu semalam. Hal ini dilaporkan oleh pihak Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA). Dengan data yang telah diperolehi itu, ia telah menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di Korea Selatan kepada 1,405,246 selain 21 kematian menjadikan keseluruhan 7,102.

Susulan varian Omicron yang mendominasi kes harian pada bulan lalu, kerajaan Korea Selatan telah mula untuk mengehadkan pelaksanaan ujian PCR terhadap kumpulan yang berisiko tinggi. Bagi individu lain perlu untuk menjalani ujian antigen pantas dengan menggunakan sama ada kit yang dijual di kedai atau pemberian secara percuma di pusat kesihatan awam.

Kira-kira 30 juta kit ujian kendiri tambahan akan dibekalkan ke seluruh negara itu bulan ini bagi menepis dakwaan kekurangan bekalan itu.

Di samping itu, kerajaan Korea Selatan juga telah menyediakan sebanyak 190 juta kit ujian kendiri untuk kegunaan bulan depan iaitu dua kali ganda berbanding bekalan bulan ini. 

Sumber - Berita Harian
 

Post a Comment

0 Comments