Bantuan Komputer Riba, Tablet & Data Percuma Kepada Pelajar B40 2021




BANTUAN KOMPUTER RIBA, TABLET DAN DATA

CERDIK merupakan inisiatif perintis tanggungjawab social korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bertujuan untuk menyediakan akses digital yang terdiri daripada komputer riba, tablet, dan sambungan data kepada murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah.

Inisiatif ini melibatkan sumbangan bernilai RM150 juta daripada 13 GLCs/GLICs mewakili syarikat dibawah Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”), Yayasan Petronas, Permodalan Nasional Berhad (“PNB”), dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (“KWSP”).

CABARAN PENDIDIKAN

Penutupan sekolah sejak pertengahan Mac 2020 telah mengganggu proses pembelajaran 4.9 juta murid-murid di seluruh negara. Walaupun pembelajaran dalam talian adalah suatu proses yang berterusan, penularan wabak COVID-19 jelas meningkatkan keperluan penggunaan teknologi digital.

Namun, akses pendidikan dalam talian terbukti menjadi cabaran - hasil kaji selidik KPM yang melibatkan 900,000 murid menunjukkan 37% daripada mereka tidak mempunyai peranti yang sesuai di rumah. Pemilikan peranti yang rendah menjadikan pelaksanaan pembelajaran dalam talian agak mencabar.

OBJEKTIF-OBJEKTIF CERDIK

CERDIK bertujuan untuk merapatkan jurang digital pembelajaran dalam norma baru ini serta membolehkan akses pembelajaran kepada murid sekolah yang memerlukan.

Empat objektif kami ialah:
  1. Untuk menyediakan peranti, akses dan sambungan data kepada murid sekolah yang terpinggir.
  2. Untuk membolehkan murid memperolehi pembelajaran dalam talian semasa penutupan sekolah dan juga pengalaman pembelajaran digital untuk masa depan apabila sekolah dibuka semula.
  3. Untuk merapatkan jurang pembelajaran antara mereka yang mampu membeli peranti digital dengan mereka yang tidak berkemampuan.
  4. Mempelopori model pembelajaran digital oleh KPM untuk penggunaan masa depan.
NEGERI YANG TERPILIH

Buat masa ini, negeri-negeri terpilih adalah Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kelantan, Sabah, dan Sarawak. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenal pasti negeri-negeri tersebut berdasarkan data penduduk B40 di negara untuk membantu masyarakat miskin bandar dan luar bandar.

BAGAIMANA SEKOLAH DAN MURID TERPILIH

SEKOLAH :
  1. Pemilihan sekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah berdasarkan pendapatan isi rumah dan tahap akademik murid.
  2. Sekolah-sekolah tersebut haruslah berada dalam kawasan yang mempunyai capaian internet sedia ada,
  3. serta berada dalam lingkungan jarak yang wajar antara satu sama lain bagi memudahkan pelaksanaan program dan penyaluran khidmat sokongan.
PEMILIHAN MURID:
  1. Murid yang berkelayakan adalah mereka yang terpinggir dari kohort terpilih oleh KPM (B40, ibu bapa tunggal, berkeperluan khas, Orang Asli),
  2. dari isi rumah dengan pendapatan bawah RM4,849 / bulan, dan tidak mempunyai akses pembelajaran atas talian pada masa ini.
PERANTI APA YANG AKAN DITERIMA

Sekolah terpilih akan menerima komputer riba (i3 atau setara) atau iPad. Peranti ini akan dibekalkan dengan tempoh jaminan sekurang-kurangnya 12 bulan.

BAGAIMANA PERANTI AKAN DIEDARKAN

Prosedur bagi pinjaman peranti di bawah inisiatif CERDIK adalah mirip kepada Skim Pinjaman Buku Teks. Pakej peranti dan sambungan data akan disumbangkan kepada sekolah yang bertanggungjawab menguruskan pinjaman kepada murid yang layak.

PERLUKAH IBU BAPA MEMBUAT PERMOHONAN

CERDIK merupakan projek rintis e-learning di mana peranti akan diedarkan kepada murid-murid dari kohort terpilih di sekolah-sekolah terpilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan bukannya melalui proses permohonan. Murid yang layak serta ibu bapa mereka akan dimaklumkan sebelum tarikh pengagihan.

Sumber - infomalaysiakini.com







Post a Comment

0 Comments