Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump & Isteri Positif Covid-19 - Malaysia Kerjaya!

Breaking

Friday, October 2, 2020

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump & Isteri Positif Covid-19



PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump mengesahkan beliau dan isteri, Melania Trump, positif COVID-19.

Pengumuman itu dibuat oleh Trump melalui akaun rasmi Twitternya pada jam 12.55 tengah hari waktu Malaysia.

Kebimbangan mengenai pendedahan Trump kepada virus itu meningkat baru-baru ini, selepas salah seorang kakitangannya, Hope Hicks dikesan positif virus tersebut.

Pada Selasa, Trump dan Hicks berada bersama di dalam pesawat Air Force One ketika presiden itu menjelajah ke seluruh Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada kempen pilihan raya beliau.

Susulan pengesahan keputusan positif Hicks, Trump mengumumkan akan menjalani kuarantin selepas mempunyai interaksi rapat dengan kakitangannya itu.


Bagaimanapun, kira-kira dua jam kemudian, Trump mengesahkan beliau dan isteri juga didapati positif virus berkenaan.

Perkembangan terbaru ini menambah ketidaktentuan kepada perjalanan kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, yang akan berlangsung pada 3 November ini.

Dengan berbaki sebulan lagi, Trump dan pesaingnya daripada Parti Demokrat, Joe Biden kini memasuki fasa akhir kempen masing-masing.

Kedua-dua mereka bertemu dalam debat presiden pertama pada 30 September lalu, dengan dua lagi sesi debat dijadualkan pada 16 dan 23 Oktober ini.

Susulan perkembangan terbaru ini, nasib kedua-kedua debat yang dijadualkan itu masih tidak pasti.

Kekhuatiran juga mungkin timbul kerana COVID-19 memberi risiko lebih tinggi kepada warga emas atau mereka yang mempunyai penyakit kronik.

Trump berumur 74 tahun, tetapi tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan

Mengikut perlembagaan Amerika Syarikat, Naib Presiden Mike Pence boleh mengambil alih pemerintahan sekiranya presiden disingkirkan, meninggal dunia, meletak jawatan atau tidak lagi mempunyai keupayaan untuk meneruskan tugasnya.

Awal tahun ini, Trump sering dikritik kerana mengambil mudah penularan COVID-19 di Amerika Syarikat.

Beliau juga sering dilihat tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan kerap mengadakan ceramah yang melibatkan kehadiran ribuan orang.

Baru-baru ini, Trump mengaku beliau tahu mengenai tahap keseriusan penularan COVID-19 di Amerika Syarikat, tetapi tidak mendedahkannya secara penuh kerana tidak mahu menakutkan rakyat negara itu.

Amerika Syarikat masih menjadi negara paling teruk terkesan dengan COVID-19.

Setakat ini, negara itu mencatatkan hampir 6.3 juta kes positif dan hampir 190,000 kematian.

Kredit - Astro Awani


No comments:

Post a Comment